Pengalaman Memandikan Jenazah

Seminggu telah berlalu. Terlalu cepat arwah ibu mertua saya pergi. Sama seperti arwah ayah mertua, perginya tidak menyusahkan anak-anak. Arwah ayah mertua lagilah, pergi setahun yang lalu, meninggal dalam tidur. Macam berjanji pulak mereka, setahun selepas pemergian arwah ayah mertua, ibu mertua pula pergi.

Alhamdulillah rezeki saya dapat menunaikan fardhu kifayah untuk membantu memandikan jenazah ibu mertua seminggu yang lalu. Saya, adik ipar dan juga biras, kami bertiga telah membantu team pengurusan jenazah surau taman perumahan. Ketuanya sangat baik dan banyak mengajar kami satu per satu apa yang perlu dibuat. Selain kami anak menantu, ada jugak ahli jemaah wanita lain yang datang untuk membantu dan belajar memandikan jenazah. Benar sebelum ini memang pernah ikut kursus memandikan jenazah, tapi bila berkursus buat amali dengan buat betul-betul memang lain rasanya. Memang kita semua patut ada ilmu fardhu kifayah ni kan? Tambah-tambah lagi bagi kita yang masih punya ibu bapa dan adik-beradik.

Sebelum memandikan jenazah, ada beberapa persediaan yang ahli keluarga perlu sediakan. Berdasarkan pengalaman sebelum ini saya hanya ingat tuala. Boleh pula terlupa kain batik untuk menutupi jenazah. Peralatan lain ialah seperti syampu, sabun dan sikat, walaupun di surau memang dah lengkap semua ada. Tapi kalau kita beli untuk diinfaqkan di surau pun tak ada masalah. Bak kata jemaah surau, kain tuala bawak lebih pun tak apa, kain batik kalau ada yang belum dijahit lagi bagus. Kalau yang dah berjahit, mereka akan minta izin untuk dikoyakkan untuk menutupi jenazah. Bilik pemandian jenazah di surau tersebut sangat lengkap dan selesa. Aircond pun ada. Gambar jer of course tak ada. 1 gambar pun saya tak ambil even di hospital pun saya tak berani nak ambil. Cuma biras saya ada buat video call masa di tanah perkuburan untuk anak arwah (adik ipar) yang tak sempat balik ke Kuching masa maknya meninggal.

Sekarang ramai orang jual set pakej memandikan jenazah. Saya rasa memang tak rugi untuk kita sediakan 1-2 set di rumah in case ada kecemasan dan kematian ahli keluarga, untuk diri sendiri pun boleh. Especially kain batik, macam saya ni memang tak banyak pun di rumah. Bila dah berlaku depan mata macam ni baru terasa keinsafan semua ni sangat perlu, biarlah kita tak menyusahkan orang-orang yang akan kita tinggalkan di suatu hari kelak.

Apabila barang-barang semua telah disediakan, jangan lupa niat memandikan jenazah ya. 

Bacaan niat memandikan jenazah lelaki:

نَوَيْتُ الْغُسْلَ اَدَاءً عَنْ هذَاالْمَيِّتِ ِللهِ تَعَالَى
“Saya niat memandikan untuk memenuhi kewajiban dari jenazah (lelaki) ini kerana Allah Ta’ala.”

Bacaan niat untuk memandikan jenazah perempuan:

نَوَيْتُ الْغُسْلَ اَدَاءً عَنْ هذِهِ الْمَيِّتَةِ ِللهِ تَعَالَى
“Saya niat memandikan untuk memenuhi kewajiban dari jenazah (perempuan) ini kerana Allah Ta’ala.”

TATACARA MEMANDIKAN JENAZAH
  • Hendaklah dimandikan di tempat yang tidak ada orang atau bilik khas. Sebaik-baiknya, hanya yang bertugas untuk memandikan jenazah sahaja dibenarkan untuk melihat. Wajib untuk menutup tempat itu, dengan kain atau pengalang sepertimana manusia mandi ketika hidupnya, pasti ada benda yang menjadi aib atau tidak mahu dilihat orang lain.
  • Hendaklah diletakkan mayat di tempat yang tinggi seperti di atas papan, atau katil khas yang di buat untuk mandian jenazah. Kemudian dibaringkan mayat di atas pembaringan. Diharuskan untuk dipakaikan baju ketika mandi sebagai menutup aib mayat tersebut, namun perlu dipastikan tidak menghalang air sampai ke badan. Orang yang memandikan jenazah tersebut hendaklah memasukkan tangan ke dalam baju tersebut, dan membersihkan dari dalam kain tersebut. Sekiranya tidak ada baju untuk menutup mayat, maka cukuplah sekadar kain untuk menutup antara bahagian pusat hingga lutut. Disunatkan juga untuk menutup wajah mayat daripada mula diletakkan di atas tempat pemandian.
  • Meletakkan mayat di atas tempat pembaringan dengan penuh lemah lembut, kemudian membuatkan mayat seperti keadaan orang yang duduk melunjur kakinya, kemudian tangan orang yang memandikan jenzah itu menahan leher si mayat agar tidak terjatuh, dan menyandarkan badan jenazah dengan kaki orang yang menguruskan jenazah. Kemudian tangan kiri menekan perut si mati dengan sedikit kuat, untuk mengeluarkan najis-najis yang berbaki agar tidak lagi keluar ketika kafan nanti. Sewaktu meruang ini, diharuskan untuk membakar bukhur atau setanggi, agar orang sekeliling tidak terbau najis-najis tersebut sekaligus dapat menjaga aib si mati.
  • Kemudian dibaringkan mayat, dan orang yang memandikan mayat hendaklah memakai sarung tangan atau membalut tangannya dengan perca kain. Kemudian membasuh qubul dan dubur, dan membuang perca kain atau sarung tangan
  • Kemudian mengambil sarung tangan yang lain, atau perca kain yang lain, dan mula membasuh bahagian mulut dan hidung dan membersihkan seperti mana orang yang berwuduk berkumur dan membersihkan hidung
  • Kemudian mewudukkan mayat, setiap basuhan wuduk dibuat tiga kali berserta dengan membersihkan mulut dan hidung.
  • Kemudian dibasuh bahagian kepalanya, kemudian janggut menggunakan sabun atau apa sahaja yang boleh membersihkan kemudian menyelati rambut dan janggutnya dengan lemah- lembut. Hendaklah menggunakan sikat yang jarang agar tidak luruh rambut atau janggut. Sekiranya luruh, hendaklah diletakkan bersama di dalam kafan.
  • Dimulakan mandian daripada bahagian sebelah kanan. Bermula daripada leher hinggalah ke bahagian kaki, kemudian dimandikan bahagian sebelah kiri daripada leher hinggalah ke bahagian kaki.
  • Selepas itu, diangkat sedikit badan mayat dan meletakkan dalam keadaan mengiring ke arah kiri lalu dilalukan air bahagian kanan belakang mayat dari bahu hingga ke kaki. Kemudian, diiringkan badan ke arah kanan, lalu dibasuh pula bahagian belakang sebelah kiri. Semua ini dikira sebagai satu mandian.
  • Diharuskan untuk mengulang basuhan ini, untuk kali kedua dan ketiga, dan diletakkan sedikit kapur barus.
  • Sekiranya terkeluar najis selepas selesai mandian di atas, maka cukup sekadar membuang najis tersebut tidak perlu mengulangi basuhan di atas. Tidak perlu di mandikan atau berwuduk semula.
  • Selepas itu, dilembutkan tulang sendi untuk memudahkan proses kafan, kemudian dikeringkan mayat supaya kain kafan tidak basah hingga untuk memastikan kain kafan tahan lebih lama.

Sepanjang menguruskan jenazah hendaklah dijaga adab-adab dengan sedaya-upaya menghormati mayat sepertimana menghormati ketika hidup, dengan memastikan hal berikut:

  • Tidak boleh untuk orang yang memandikan jenazah atau sesiapa pun untuk menyentuh kemaluan mayat tanpa memakai sarung tangan. Begitu juga dilarang untuk melihat aurat mayat. Hanya dibenarkan menyucikan bahagian aurat setelah membalut tangan dengan kain atau memakai sarung tangan.
  • Diharuskan kepada orang yang memandikan jenazah atau sesiapa pun, untuk tidak melihat mana-mana bahagian melainkan ketika perlu untuk memandikannya
  • Begitu juga diharuskan untuk tidak menyentuh mana-mana bahagian tanpa memakai sarung tangan, sekiranya tidak ada syahwat tidak diharamkan sentuhan tersebut.
  • Dimakruhkan untuk memotong kuku, menggunting misai, atau mencukur bulu ari-ari. Malah diharuskan untuk dibiarkan begitu sahaja. Ini kerana, setiap bahagian daripada badan mayat adalah dianggap sesuatu yang mulia.
  • Dimandikan wanita seperti mana dimandikan orang lelaki, sekiranya mempunyai rambut, diikat dengan tiga ikatan, seperti mana yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Atiah R.Anha:

ضَفَرْنَا شَعَرَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم‏.‏ تَعْنِي ثَلاَثَةَ قُرُونٍ‏.

Maksudnya: kami ikalkan rambut puteri Baginda SAW. Iaitu dengan tiga ikatan.

Kredit: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3027-al-kafi-1050-tatacara-pemandian-jenazah-yang-betul

Semasa memandikan jenazah, kami dipesan berkali-kali agar jaga aurat jenazah. Jaga aurat, jaga aurat. Kami memang dilarang sama sekali melihat aurat jenazah, tangan saja bekerja tapi jaga pandangan mata walaupun jenazah tersebut darah daging kira sendiri. Nak menggosok dan membersihkan anggota badan jenazah juga dibuat dengan lemah-lembut dan berhati-hati. Masya Allah! Begitu sekali Allah mengajar kita agar menghormati hambaNya walaupun roh telah terpisah dari badan. Subhanallah!!

Bagaimana pula persediaan kita? Saya? Adakah kita bersedia untuk menghadapi saat-saat sebegini?


17 Comments

Penafian:

Setiap maklumat yang terkandung di dalam blog ini adalah pengalaman peribadi penulis ♥ KakmimDotCom ♥

Oleh itu, setiap komen yang tersiar di ♥ KakmimDotCom ♥ adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis komen itu sendiri malah tidak mewakili pandangan penulis blog. Penulis blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlakunya sebarang permasalahan yang timbul yang berkait dengan komen tersebut.

Penulis blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.

Sekiranya ada persoalan dan masalah, bolehlah terus email di kakmimdotcom@gmail.com. Selamat membaca!

  1. Pengalaman dan ilmu yang sangat berguna. Pengalaman saya, masa mandikan jenazah arwah mak. Kita sendiri kena buat persiapan dari sekarang. Beli kain batik lepas (belum dijahit) 2-3 pasang, bagitau pada anak² mana kita simpan supaya senang dia orang nak ambil bila tiba masa kita.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar tu nur... better kita prepare awal dpd menyusahkan org yg akn kita tinggalkan... setiap rumah mmg perlu prepare benda basic mcm ni

      Delete
  2. Alhamdulillah ada pengalaman memandikan jenazah mak mertua kitak kakmim. Kamek belum pernah gik mengikut kursus memandikan jenazah. Tapi ilmu ya nang perlu ada untuk semua yang bergelar ANAK sebab mun orang tua ninggal, malu mun anak sik tolong mandikan jenazah orang tua kedirik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya lah kira nektok dah senior kita gik jadi org dewasa dlm keluarga perlulah berfikir semua benda yg kita x penah nk fikir dolok.. boleh la join kursus mun ada surau/masjid polah kelak... at least kita x lah blur gilak bila berlaku kematian keluarga terdekat kita

      Delete
  3. Takziah Mim atas pemergian ibu mentua.
    Alhamdulillah berpeluang memberi bakti akhir.

    Akak pun tak pernah ada pengalaman mandikan jenazah. Setakat pernah membantu sediakan kain kapan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kak... sebelum ni sy tgk je org sediakan kelengkapan kain kapan kali ni ada rezeki mandikan jenazah terus

      Delete
  4. Betul, Mim. Walau dah berapa kali kursus pengurusan jenazah pun, tak sama bila ianya menjadi realiti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul... amali kursus dgn sebenar x sama... mula-mula mmg rasa blur apa nk buat nasib baik team mmg ajar satu-persatu

      Delete
  5. Takziah buat Kakmim sekeluarga. Didoakan agar arwah ibu mertua ditempatkan di kalangan para solihin aamiin
    Alhamdulillah, rezeki arwah dimandikan oleh anak menantu sendiri. Arwah mak PH dulu pun kami 2 beradik perempuan, kak ipar & cucu4 perempuan mak yg mandikan. Peluang berharga Allah bagi, buat kali terakhir :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima PH atas doanya... al-fatihah utk mak PH yg telah pergi... at least ada juga jasa terakhir kita kan

      Delete
  6. salam takziah
    al fatihah buat arwah
    ilmu yg wajib kita pelajari
    alhamdulillah. sama ciknur dulu merasa mandikan arwah mak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih cik nur... mmg betul ilmu yg kita perlu tau tu.. alhamdulillah cik nur pun berpeluang memberi khidmat terakhir utk arwah mak

      Delete
  7. salam takziah kak mim..al fatihah buat arwah, moga ditempatkan dikalangan org2 yg beriman
    betul tu..fardu kifayah, MA dulu pun merasa juga la bantu masa mandikan arwah suami...mula tu memang x berani plus takut x kuat but tgk Ian masa tu baru umur 11 tahun dah berani turut serta mandikan arwah daddy dia, MA pun beranikan diri jugak, alhamdulillah semua ok and alhamdulillah, dpt jugak MA berbakti buat kali terakhir utk suami... kalau x mungkin MA ralat jugak kot...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih MA.. semoga arwah tenang di sana

      Alhamdulillah... MA dpt berbakti utk arwah suami buat kali terakhir hari tu... kalau mandikan suami yg akn bantu kita semestinya jemaah lelaki jugak kan? cuma kita seorg yg pempuan (isteri)? mcm tu ke? sbb kalau kita nk buat semua mmg x confident

      Delete
  8. Terperinci cerita tertib mandikan jenazah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baca dan aplikasikan ke atas jenazah x sama NA.. nasib baik sekarang byk bahan bacaan mcm ni utk jd rujukan kita yg noob ni

      Delete
  9. Pengalaman kedak tok amat perlu bukan semasa memandikan jenazah jak tetapi ingatan bahawa kita pun akan kedak ya juak klak...wallahualam

    ReplyDelete
Previous Post Next Post

Contact Form