KUALA LUMPUR: Kes positif dan kematian akibat jangkitan COVID-19 yang terus berleluasa menyebabkan masyarakat semakin bimbang dengan langkah pencegahan dan rawatan wabak itu sehingga ramai yang mencadangkan pengambilan pelbagai jenis ubat dan vitamin untuk rawatan termasuk produk Ivermectin.
Bagaimanapun dalam kalangan pakar bidang farmasi, desakan penggunaan produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan COVID-19, tidak boleh dilakukan terburu-buru tanpa bukti klinikal yang kukuh.
Dekan Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Mohd Makmor Bakry, berkata walaupun terdapat data-data yang mula muncul berkenaan keberkesanan Ivermectin di pelbagai laman sesawang dan media sosial, orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak mengambil Ivermectin untuk tujuan rawatan atau pencegahan COVID-19 hingga terdapat bukti klinikal yang kukuh.
"Kita faham msyarakat bimbang dengan peningkatan kes dan bilangan kematian semakin memuncak, hingga terdapat banyak pandangan untuk menyegerakan penggunaan produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan COVID-19.
"Bagaimanapun, hingga kini tiada produk Ivermectin yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah PBKD Kementerian Kesihatan (KKM) untuk kegunaan manusia.
"Malah, Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) dan Agensi Perubatan Eropah (EMA) tidak pernah meluluskan indikasi Ivermectin bagi tujuan rawatan atau pencegahan COVID-19 berikutan tiada data klinikal kukuh yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk dalam merawat atau mencegah COVID-19.
"Pada ketika ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19 dalam kajian atau percubaan klinikal sahaja.
"Menyahut perkara ini satu kajian klinikal Ivermectin sudah juga dimulakan KKM pada 25 Mei lalu untuk mencari bukti keberkesanan dalam rawatan COVID-19," katanya kepada BH, hari ini.
Dr Mohd yang juga Pensyarah Farmasi Klinikal UKM berkata, Ivermectin adalah produk anti-parasit yang hanya diluluskan untuk kegunaan haiwan.
Bagaimanapun katanya, produk itu mendapat perhatian apabila beberapa kajian kes dan kajian klinikal melaporkan keputusan kajian yang memberangsangkan.
"Namun, bukti kajian klinikal sedia ada masih belum mencukupi. Kebanyakan penilaian Ivermectin adalah dalam bentuk pra-penerbitan dan pada pangkalan data simpanan protokol kajian yang mana penerbitan dapatan kajian tidak melalui proses piawai penerbitan yang memerlukan pewasitan teliti.
"Kajian-kajian yang dilaporkan juga mempunyai kepelbagaian dari segi persoalan klinikal atau hasil rawatan. Data-data meta-analisa sedia ada yang dipamerkan pada beberapa laman sesawang juga mengandungi kajian-kajian berskala kecil, kaedah pencarian kajian yang tidak khusus dan penilaian kualiti kajian yang tidak jelas," katanya.
Tinjauan kajian yang tidak sistematik boleh menyebabkan tersebarnya hasil kajian yang kurang tepat. Dari hari ke hari, akan terdapat pelbagai kajian klinikal yang kukuh menilai keselamatan dan keberkesanan Ivermectin dilaporkan.
"Sehingga kita mendapat cukup bukti klinikal yang kukuh untuk pendaftaran produk ini bagi kegunaan manusia dan rawatan COVID-19, jadi masyarakat dinasihat supaya tidak mengambil Ivermectin ini.
"Selain itu, pengambilan Ivermectin ini mungkin juga menyebabkan seseorang itu merasa kebal terhadap COVID-19 dan menjadi lalai dengan keperluan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Farmasi UKM, Prof Madya Dr Ernieda Hatah, berkata Ivermectin memang ada digunakan di hospital di Malaysia, cuma masih di peringkat 'off-label' dan dan digunakan secara berhati-hati.
"Ini berikutan hanya 11 kajian dari seluruh dunia dilakukan untuk mengkaji kegunaan Iivermectin ini bagi rawatan penyakit COVID-19. Malah ada daripada kajian itu, hanya membabitkan sampel pesakit yang kecil dan penyelidikan itu bukan dalam bentuk kajian yang terbaik, malah ada risiko meningkatkan kematian.
"Oleh itu, Institut Kesihatan Nasional AS masih dalam dilema antara boleh digunakan atau tidak. Ini sekali gus, memerlukan lebih banyak kajian dilakukan.
"Setakat ini, tiada lagi kajian digunakan untuk pencegahan COVID-19. Semuanya hanya untuk tujuan rawatan COVID-19. Maka semua perlu bersabar dan menunggu keputusan seterusnya," katanya sambil menambah produk itu memerlukan lebih banyak kajian sebelum kesimpulan mengenai keberkesanannya dalam merawat pesakit COVID-19 diperoleh.
Bagi Pakar Virologi Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, walaupun ramai membaca mengenai kemungkinan keberkesanan Ivermectin untuk COVID-19, penggunaannya masih tertakluk kepada kelulusan KKM terlebih dahulu.
"KKM sedang membuat kajian akan keberkesanannya yang akan membabitkan 500 pesakit.
"Kemungkinan kajian yang lebih menyeluruh perlu dilakukan secara bebas oleh konsortium daripada pelbagai universiti yang boleh membabitkan lebih ramai peserta, sekurang-kurangnya 3,000 orang supaya keberkesanannya boleh dinilai sepenuhnya," katanya.
Betul lah kak, jenis org jual produk kesihatan, suppliment ni kadang belum ada bukti klinik yang khusus tapi dah sibuk jual sana sini, org tua kt kampung dahla sejeni senang percaya benda macam ni.
ReplyDeleteKesian kan org2 tua di kpg tu kena bayar mahal nk beli supliment ni semua.. bkn diorg mk tanya anak2 dlu
DeletePulak dah. Banyak juga info yang tak sahih yang merosakkan pemikiran mereka yang mudah terpengaruh.
ReplyDeleteBetul.. baca boleh percaya jangan kan?baca utk cakna je
DeleteKena pesan mak ayah kita kalau baca apa-apa info, clarify dulu. Ramai kat luar tu nak jadi doktor jugak tu yang macam-macam teori.
ReplyDeletealahai ini yg xsuka. xnak amek vaksin pastu hasut org lain pulak tu. ish2
ReplyDeleteItulah banyak maklumat. Oh rupanya ivermectin belum ada cukup data klinikal.
ReplyDelete