Kisah SLE

Pagi tadi dalam perjalanan ke ofis sembang-sembang dengan BFF
Ada member dia yang baru kawen, dah miss P 3 bulan
Ingatkan pregnant lain jadinya, rupanya ada cyst
Tapi bukan cyst masalahnya, sebab cyst memang dah biasa dengar dah
Member dia ni rupanya penghidap SLE
Yang saya sendiri baru pernah dengar

Apakah SLE?
Di sini saya kongsikan hasil carian di Google

SLE ialah penyakit kronik autoimun di mana antibodi dalam tubuh pesakit yang sepatutnya melindungi badan untuk melawan penyakit tiba-tiba `berubah’ dengan menyerang sel badan atau organ manusia. Dalam kata lain, ia satu gangguan sistem imun membabitkan sistem imun itu sendiri melawan bahagian-bahagian tubuh yang sepatutnya dilindungi.

Menurut Pakar Perunding Rheumatologi Hospital Putrajaya, Dr. Heselynn Hussein, penyakit ini berlaku secara tiba-tiba kepada seseorang individu dan puncanya tidak diketahui. Ia menjadikan sistem daya tahan tubuh menjadi berkecamuk dan bercelaru.

Jelasnya, penyakit ini menyerang individu secara tiba-tiba dan masa ia menyerang tidak diketahui. Ia mempunyai spektrum yang luas di mana ada pesakit yang mendapat penyakit SLE ringan dan ada yang memperoleh serangan sangat serius. Ia boleh menyerang kulit sahaja dan ia boleh menyerang sendi, buah pinggang, jantung, paru-paru, saraf dan otak.

“Penyakit ini boleh membawa maut kerana SLE berupaya menyebabkan kegagalan fungsi organ atau serangan SLE itu sendiri terlalu kuat yang dinamakan krisis lupus. Antibodi juga boleh memecahkan sel-sel darah merah dan menyebabkan pesakit kurang darah merah,” ujarnya.

Berbicara tentang simptom awal, Heselynn menerangkan penyakit ini tidak mempunyai simptom spesifik dan ia berubah-ubah mengikut individu. Secara umumnya, ada yang menderita demam, mendapat ruam, rambut gugur, sakit sendi, mudah penat dan kemurungan.

“Itulah sebabnya penyakit ini dinamakan penyakit seribu wajah kerana simptomnya berubah-ubah mengikut individu. Adakalanya sukar untuk doktor mengesahkan penyakit ini kerana wujudnya unsur-unsur penyamaran. Misalnya, salah satu simptomnya ialah sakit sendi sedangkan ada banyak lagi penyakit lain yang turut menyebabkan sakit sendi,” ujarnya sambil memberitahu untuk mengesahkan penyakit ini, pesakit yang sudah menampakkan simptom perlu menjalani ujian darah antinuklear antibodi (ANA).

Punca-punca
 
Punca sebenar penyakit ini belum dapat dipastikan tetapi kemungkinan besar mempunyai kaitan rapat dengan gabungan pelbagai faktor seperti genetik, hormon, sistem imun badan dan persekitaran seperti virus Ebstein Barr.Dalam kebanyakan pesakit SLE, terdapat gen-gen tertentu yang lebih banyak frekuensinya berbanding dengan mereka yang sihat.
 
Kebarangkalian mewarisi gen-gen itu adalah tinggi bagi keturunan pesakit tersebut biarpun bukan seratus peratus.Unsur ultraungu di dalam sinaran matahari merangsang sel-sel keratin di dalam kulit untuk mewujudkan protein-protein asing di permukaan sel.Kesemua faktor di atas akan berhubung kait antara satu sama lain dan mewujudkan antibodi terhadap tisu-tisu badan dan penghasilan kompleks imun.Kompleks-kompleks inilah yang bertanggungjawab terhadap kerosakan yang berlaku di dalam badan pesakit SLE.
 
Gejala-Gejala SLE
 
- Sakit sendi atau bengkak sendi/artritis
- Rasa lesu 50 peratus.
- Demam yang tidak tentu
- Pecah-pecah mulut
- Masalah kulit
- Buah Pinggang
- Sistem Saraf
- Gugur rambut
- Tompok-tompok merah atau ruam merah berbentuk kupu-kupu pada bahagian muka
- Kiraan darah putih yang rendah
- kiraan platelet rendah
- Sawan
- gangguan urat saraf.
 
Perhatian
Kebanyakan pesakit SLE sudah pun mempunyai gejala-gejala seperti di atas semasa berjumpa doktor.Gejala-gejala ini boleh timbul secara sendirian lantas menyukarkan diagnosis ataupun secara serentak.Ia juga boleh timbul pada masa-masa berlainan yang boleh menyebabkan tertundanya diagnosis SLE.

Diagnosis

Selain beberapa ujian darah yang diperlukan, ujian air kencing juga diperlukan bagi mengesan protein dan sel darah merah termasuk yang abnormal di dalam air kencing, di samping mengukur kandungan protein di dalam air kencing yang berkaitan dengan tahap kreatinin.
Penglibatan organ-organ dalaman seperti buah pinggang, perlu dikesan lebih awal kerana kerosakan organ tersebut berlaku secara halus sebelum siasatan darah menjadi abnormal.

Rawatan
 
- Menentukan keaktifan penyakit SLE dan penglibatan organ-organ.
Keaktifan penyakit merujuk kepada keradangan organ-organ yang terlibat dan darjah kerosakan organ merujuk pula kepada indeks kerosakan sesuatu organ itu.
 
Keaktifan penyakit, diukur melalui sejarah klinikal, pemeriksaan pesakit secara teliti, ujian spesifik organ-organ dan serologi.
 
- Pengubahsuaian gaya hidup.
Diet yang sesuai bergantung kepada ciri-ciri SLE yang dialami pesakit. Mereka yang mempunyai SLE aktif memerlukan kalori yang bertambah.Rawatan steroid menambahkan selera makan pesakit SLE. Justeru, kebanyakan pesakit mempunyai berat badan yang berlebihan.Sementara itu peningkatan paras lemak berlaku di dalam pesakit yang mempunyai hefrotik atau yang diberi rawatan steroid.Oleh itu, mereka perlu mengawal pemakanan melalui pengambilan diet rendah lemak.Rawatan menggunakan ubat statin boleh diberikan jika paras kolesterol masih tinggi selepas pengawalan diet.Pesakit SLE tidak perlu mengambil vitamin kecuali jika mereka kurang selera makan.Kebanyakan pesakit SLE juga mempunyai paras vitamin D aktif rendah manakala pesakit yang menerima steroid perlu diberikan kalsium, vitamin D dan bisfosfonats untuk meminimumkan kehilangan tulang.
 
- Senaman; kekurangan aktiviti badan semasa berlakunya peringkat aktif menyebabkan kehilangan otot-otot badan dan pengurangan stamina.
 
Oleh itu seseorang pesakit digalakkan menjalani senaman secara berperingkat-peringkat.
- Merokok boleh meningkatkan risiko SLE. Perokok juga mempunyai keaktifan SLE yang tinggi.
- Elakkan tekanan kerana ia boleh menyebabkan SLE menjadi aktif. Perlu berfikiran positif sentiasa.
- Perlindungan kulit, seperti menggunakan perlindungan matahari SPF sekurang-kurangnya 45. Pesakit digalakkan memakai payung, topi atau baju lengan panjang.

Sumber: Berita Harian Online

Rupanya penyakit ni memang berlaku tapi amat jarang ditemui, bila gali punya gali pasal SLE rupanya ada jugak blog penghidap SLE. Jom la terjah bagi semangat kat Adik Deno ni.

Jom terjah blog DayangDeno (SLE fighter), kita sama-sama bagi semangat kat adik ni untuk mengharungi hidupnya yang telah dikuasai oleh SLE



Post a Comment

Penafian:

Setiap maklumat yang terkandung di dalam blog ini adalah pengalaman peribadi penulis ♥ KakmimDotCom ♥

Oleh itu, setiap komen yang tersiar di ♥ KakmimDotCom ♥ adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis komen itu sendiri malah tidak mewakili pandangan penulis blog. Penulis blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlakunya sebarang permasalahan yang timbul yang berkait dengan komen tersebut.

Penulis blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.

Sekiranya ada persoalan dan masalah, bolehlah terus email di kakmimdotcom@gmail.com. Selamat membaca!

Previous Post Next Post

Contact Form